Wednesday 24 June 2015

Ramadhan Kareemm!!!



“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (QS.Al-Baqarah:183)


Tanpa terasa, waktu demi waktu berlalu dengan cepatnya, dan berapa hari lagi bulan suci Ramadhan akan tiba kembali lagi.

Kehadirannya memberi harapan dan semangat kepada setiap Muslim, kerana ia akan membawa kenikmatan jiwa dan rohani dalam kehidupan ini.

Dalam menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, orang-orang beriman menyambutnya dengan rasa gembira kerana kekasihnya Ramadhan akan datang, sehingga perintah shaum (puasa) yang diwajibkan Allah pada bulan itu dapat dilakukannya dengan baik.

Nabi Muhammad Saw bersabda; “Siapa yang bergembira menyambut kedatangan bulan suci Ramadhan, Allah mengharamkan tubuhnya disentuh oleh api neraka” (Al-Hadis).

Tetapi ada juga orang yang menyambut bulan suci Ramadhan dengan perasaan tidak senang, sebab kedatangannya dianggap akan merugikan dirinya.

Juga mengekang kebiasaannya yang dilakukannya di luar bulan Ramadhan, seperti makan dan minum di siang hari, merokok, dan sebagainya.


Ramadhan akan kembali menyapa kita, suatu bulan yang penuh dengan keberkatan.

Kehadirannya membawa keberkatan yang melimpah ruah, kerana sebulan dalam bulan Ramadhan itu dibuka lebar-lebarnya semua pintu syurga dan dikunci semua pintu neraka.

“Sesungguhnya telah datang bulan yang penuh keberkatan, dimana telah difardhukan atas kamu berpuasa. Dibukakan pada bulan itu semua pintu syurga dan dikuncikan padanya semua pintu neraka dan dibelenggu pada bulan itu segala syaitan. Dalam bulan itu, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqi dari Abu Hurairah).

Sunday 19 April 2015

KEM BESTARI SOLAT FASA 1

KEM BESTARI SOLAT FASA 1

TARIKH: 18 APRIL 2015

TEMPAT: SJK(C) BIN CHONG, PONTIAN, JOHOR

PENCERAMAH: AL-FADHIL USTAZ FAHRULRAZI AL-FUNTIANY

AKTIVITI: 1) CERAMAH RUKUN SOLAT DAN WUDUK
          2) EXPLORE RACE: KEMBARA SOLAT











Kelebihan Menjadi Guru Cemerlang


Kerap juga saya mendapat soalan sebegini apabila ditanya mengenai apa kelebihan menjadi Guru Cemerlang. Ramai juga yang nak tahu apa sebenarnya yang kita dapat jika kita menjadi seorang Guru Cemerlang. Saya kongsikan sedikit beberapa kelebihan bergelar Guru Cemerlang, berdasarkan kepada pengetahuan saya dan pendapat rakan guru yang lain.






1. Kenaikan Pangkat Lebih Cepat

Laluan kecemerlangan ini merupakan laluan fast-track yang paling laju jika anda berhajat untuk naik pangkat dengan paling cepat. Untuk DG41, kebiasaannya kita perlukan 8 tahun perkhidmatan untuk kenaikan pangkat secara time-based ke DG44. Itupun mesti melalui TBBK, Time-Based Berasaskan Kecemerlangan yang perlu melalui proses yang lebih kurang sama dengan memohon Guru Cemerlang, iaitu perlukan dokumentasi apa yang kita buat 3 tahun kebelakang. Itupun kenaikan bukan secara automatik. Maka adalah juga kes yang gagal TBBK. Jadi, jangan seronok sangat.








Boleh juga tengok jadual perbandingan di atas bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai tempoh tahun perkhidmatan. Dalam kes saya, saya dilantik DG44, 2 tahun lebih awal berbanding rakan-rakan yang memilih laluan timebased walaupun kami sama-sama posting pada tahun 2007. Malah ketika mereka sedang mengumpul bahan untuk memohon TBBK bagi gred DG44, saya pula sudah layak untuk memohon Guru Cemerlang bagi gred DG48!



2. Gaji Besar

Ini juga antara motivasi utama bagi sesetengah orang yang memohon Guru Cemerlang. Dengan gred yang lebih besar, sudah tentu kita akan mempunyai gaji yang lebih besar, secara logiknya. Dengan kenaikan 2 tahun lebih awal bagi gred DG44, ataupun 5/6 tahun bagi gred DG48, maka sudah tentu ini merupakan galakan terbaik bagi guru yang berhajat nak menambah pendapatan sebagai guru dengan cara yang lebih cepat.








Kenaikan tahunan juga akan berubah. Semasa di gred DG41, kenaikan tahunan adalah sebanyak RM225. Bagi gred DG44 pula, kenaikan tahunan adalah sebanyak RM250. Dan bagi gred DG48 pula, kenaikan tahunan adalah RM275. Ini bermakna, beza gaji hampir RM1000 bagi tahun ke-8 untuk 2 orang yang posting pada tahun yang sama, tetapi dengan laluan timebased dan laluan kecemerlangan. Tepuk dada, tanya selera.



3. Gelaran Guru Cemerlang

Ada juga yang memohon laluan kecemerlangan ini untuk gelaran Guru Cemerlang tersebut. Mungkin pada beliau, ini merupakan satu cara yang boleh menunjukkan status beliau pada guru-guru lain. Kalau tidak masakan, ada sesetengah Guru Cemerlang yang dengan bangganya sekali asyik mengaku Guru Cemerlang, setiap kali berjumpa dengan guru-guru lain di mesyuarat, bengkel atau apa-apa lain. Untuk tujuan apa tak pasti. Tapi saya mohon berlindung dengan Allah, semoga dijauhkan dengan perasaan ujub dan syok sendiri ini. Amin!







Betulkan niat, inshaAllah pasti apa yang anda dapat itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan rakan guru yang lain. Anda jangan risau, spesies yang sebegini tak banyak. Tapi kalau anda berpeluang berjumpa, maka ambil masa dan Selamat Berkenalan.. ;)



4. Tidak Terlibat Pentadbiran

Ada juga mereka yang memohon Guru Cemerlang kerana tidak mahu terlibat dengan bidang pentadbiran. Maknanya guru ini hanya mahu memfokuskan kepada kerja mengajar sahaja. Kerja pentadbiran yang saya maksudkan di sini adalah kerja pentadbiran hierarki tinggi seperti Ketua Bidang, dan Guru Penolong Kanan. Ini kerana, bagi mereka yang dilantik sebagai Guru Cemerlang, mereka perlu melepaskan jawatan tersebut jika permohonan mereka sebagai Guru Cemerlang berjaya. 








Bermaksud juga mereka yang sudah dilantik sebagai Guru Cemerlang, tidak boleh dilantik sebagai Ketua Bidang atau Penolong Kanan di sekolah. Manakala bagi Ketua Bidang dan Penolong Kanan yang berjaya dalam permohonan mereka sebagai Guru Cemerlang, perlulah meletakkan jawatan mereka.


Ini juga antara sebab kenapa saya memohon Guru Cemerlang. Sebab saya tak berminat dalam bidang pentadbiran, dan rasanya kurang berkemahiran. Maka lebih baik untuk saya fokuskan kepada kerja-kerja mengajar yang saya suka. Tahukah anda, menguruskan 1000 orang murid adalah jauh lebih mudah daripada menguruskan 10 orang cikgu? ;)



5. Berkongsi Pengetahuan

Ini juga antara sebab kenapa saya memohon Guru Cemerlang. Iaitu bagi tujuan untuk berkongsi pengetahuan saya dengan rakan guru yang lain. Diulangi yer, berkongsi. Bukan mengajar guru-guru lain. Saya percaya, setiap guru ada kaedah mereka sendiri. Ada yang berkesan, ada yang kurang berkesan. Sama juga yang berlaku pada saya. Maka, jika kita ada sedikit kaedah yang boleh membantu, apa salahnya jika kita berkongsi dengan rakan guru yang lain demi kebaikan pelajar. 








Dengan gelaran Guru Cemerlang juga maka lebih mudah anda dikenalpasti oleh sekolah dan pihak-pihak lain bagi dijemput untuk berkongsi pengetahuan. Maka gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin bagi mencurahkan ilmu dan pengetahuan anda kepada mereka yang memerlukan. InshaAllah peluang untuk anda berkongsi ilmu akan lebih terbuka luas apabila anda bergelar seorang Guru Cemerlang.


Pelik juga apabila ada sesetengah guru yang suka betul "simpan ilmu" dan tak mahu berkongsi dengan rakan guru yang lain, demi nak memastikan peratus kejayaan di sekolahnya adalah yang paling tinggi. Kedekut dan kejam! Jika ada dalam kalangan kita yang bersikap begitu, maka buanglah jauh-jauh sifat tersebut. Percayalah, ilmu akan lebih banyak bertambah, jika kita lebih banyak memberi.



6. Motivasi Bekerja Lebih Kuat

Gelaran Guru Cemerlang ini juga boleh menjadi sumber motivasi kepada kita untuk bekerja dengan lebih kuat. Sudah tentu kita nak menghasilkan sesuatu yang lebih luar biasa bagi memenuhi tanggungjawab sebagai Guru Cemerlang. Secara tak langsung ini mendorong kita untuk menghasilkan kaedah mengajar, teknik, dan inovasi yang lebih berkesan dalam pdp. Perkara ini kemudiannya dikongsikan dengan rakan guru yang lain dan dapat juga menggalakkan rakan guru untuk turut serta menghasilkan perkara-perkara luar biasa.




7. Idola Kepada Rakan Guru Lain

Dengan mutu kerja yang hebat dan status Guru Cemerlang sebagai bukti kecemerlangan anda, maka tak mustahil anda menjadi idola dan ikutan kepada rakan guru yang lain yang juga mahu berjaya seperti anda. Kehebatan anda di bilik darjah dan di luar, perlulah cukup mengkagumkan guru-guru lain. Baru sesuai gelaran tersebut dengan anda.








Maka untuk itu, saya menyeru kepada semua rakan Guru Cemerlang menunjukkan mutu kerja yang betul-betul cemerlang, sesuai dengan gelaran yang anda perolehi. Gelaran Guru Cemerlang bukan satu lesen untuk kita duduk selesa tanpa perlu berusaha apa-apa lagi. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Masih banyak tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan. Maka bekerja lah dengan sebaik mungkin.



Walau apa pun alasan anda, saya yakin bahawa anda mempunyai alasan anda yang tersendiri untuk memohon Guru Cemerlang. Berusahalah sebaik mungkin jika ada peluang. Peluang perlu direbut, sebab peluang tak akan datang banyak kali. Jika gagal, maka berusahalah lagi. Jangan cepat putus asa. Dan jika berjaya, tunaikanlah tanggungjawab dan amanah anda sebagai Guru Cemerlang dengan sebaik mungkin!



p/s: Bagi yang berminat nak memohon Guru Cemerlang, anda boleh teruskan bacaan entri ini untukPanduan Memohon Guru Cemerlang

Tuesday 24 March 2015

PENGURUSAN PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

PENGURUSAN PANITIA PENDIDIKAN ISLAM
DEFINISI
Pengurusan Panitia Pendidikan Islam di sekolah bermaksud kemampuan dan kecekapan Panitia Pendidikan Islam merancang, mengurus dan melaksanakan matlamat, objektif strategik dan program panitia secara berterusan dan berkesan.
OBJEKTIF
1. Mempertingkatkan pemahaman mengenai struktur organisasi, fungsi dan tugas panitia Pendidikan Islam di sekolah.
2. Mempertingkatkan kerjasama dan muafakat GPI untuk merancang, melaksanakan, menyelia dan memantau keberkesanan semua program dan aktiviti yang berkaitan.
3. Menggembleng tenaga GPI dalam melaksanakan aktiviti panitia.
4. Berusaha secara muafakat untuk mencari penyelesaian masalah, kekangan dan hambatan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan motivasi, sikap dan tabiat belajar pelajar.
5. Berusaha untuk mempertingkatkan pendokumentasian data / maklumat berkaitan dengan Pendidikan Islam di sekolah.
6. Menjadi penggerak kepada program dakwah dan bi'ah Islamiah di sekolah
ISU YANG PERLU DIFAHAMI
  1. Pemahaman tentang struktur organisasi, fungsi dan tugas panitia P.Islam
  2. Pemahaman dan kemahiran tentang pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam
  3. Kerjasama sesama guru-guru Pendidikan Islam dan pihak lain yang berkaitan
  4. Fungsi Mesyuarat dan Perjumpaan Panitia Pendidikan Islam
  5. Pendokumentasian data / maklumat Pendidikan Islam / sistem fail
SENARAI TUGAS
Ketua Panitia
  1. Bertanggungjawab ke atas perancangan, perjalanan dan kemajuan P.Islam.
  2. Memastikan semua guru Pendidikan Islam menggunakan Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam yang kemas kini.
  3. Mengadakan dan menyimpan fail-fail Pendidikan Islam.
  4. Memastikan semua guru Pendidikan Islam membina soalan-soalan peperiksaan dalaman mengikut format yang ditentukan.
  5. Memastikan semua GPI menyediakan rancangan tahunan dan harian.
  6. Mempengerusikan Mesyuarat Panitia Pendidikan Islam.
  7. Menjalankan arahan yang diberikan dari semasa ke semasa.
Setiausaha
  1. Menyediakan surat-surat Pekeliling / Mesyuarat Panitia PI
  2. Menyediakan agenda untuk semua Mesyuarat Panitia Pendidikan Islam.
  3. Mencatat minit dalam semua Mesyuarat Panitia Pendidikan Islam.
  4. Membentang minit dalam semua Mesyuarat Panitia Pendidikan Islam.
  5. Menguruskan semua surat keluar masuk Panitia Pendidikan Islam.
  6. Menyediakan laporan bagi setiap kali program Panitia Pendidikan Islam.
  7. Menjalankan arahan yang diberikan dari semasa ke semasa

Saturday 7 March 2015

Sejarah Perkembangan Pendidikan Pondok di Malaysia dan Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Sehingga Kini

Sejarah Perkembangan Pendidikan Pondok di Malaysia dan Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Sehingga Kini


 Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Lubuk Tapah, Pasir Mas.


1.0  Pengenalan Kepada Perkembangan Sistem Pendidikan Pondok di Malaysia

1.1 Konsep Pendidikan Sekolah Pondok

Perkataan pondok berasal daripada perkataan Arab ‘fuduqun’ yang bererti rumah tumpangan atau tempat penginap para pengembara. Dalam konteks institusi pendidikan Islam, ia dikaitkan dengan rumah-rumah kecil yang didirikan sebagai tempat tinggal pelajar, berhampiran surau atau madrasah dan rumah tuan guru di sebuah kawasan khas. Di Tanah Melayu tertumpu di Pattani, Kelantan, Trengganu dan Kedah. Pondok-pondok itu dikenali berdasarkan nama guru yang menjadi pengasasnya atau nama tempat/kampung seperti pondok Tok Kenali dan pondok Pasir Tumbuh di Kelanta. Proses pemindahan ilmu dan budaya dalam hidup bersyariat sama ada secara formal atau tidak formal. Selain itu, institusi pondok adalah sistem pendidikan secara formal dan tinggi.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘sekolah pondok’ merupakan institusi pengajian dan pendidikan  Islam secara tradisional.  Terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada sekolah pondok seperti pesantren di Jawa, penjentren di Madura, ranggang di Aceh dan surau di Minangkabau.  Sekolah pondok  adalah sebuah kawasan yang di dalamnya terdapat institusi pengajian Islam yang berbentuk tradisional. Terdapat rumah-rumah kecil yang didirikan berasingan. Bentuknya hampir sama antara satu dengan yang lain. Rumah-rumah ini didirikan secara tersusun yang berhampiran dengan rumah tuan guru dan surau atau masjid.  Rumah-rumah kecil tersebut merupakan tempat tinggal pelajar, manakala surau atau masjid dijadikan tempat belajar dan beribadat.

1.2 Ciri-ciri Pendidikan Sekolah Pondok

1.2.1 Ilmu agama

Dari segi pembelajaran sukatan pembelajaran yang didedahkan kpd para pelajar adalah tidak tersusun, ia bergantung kepada kemahiran guru. Antara mata pelajaran yang diajar ialah tauhid, tafsir, fekah, nahu saraf, hadis, doa-doa yang ada kaitan dengan kehidupan seharian. Para pelajar juga didedahkan dengan kaedah menulis dan menguasai kaedah jawi dan bahasa Arab.

1.2.2 Ilmu perubatan

Sesetengah institusi pendidikan pondok mendedahkan ilmu perubatan tradisional yang menggunakan bahan-bahan spt akar kayu di samping jampi-jampi yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Antara kitab yang berkaitan ialah Tashil al Manafi fi al Tibbi wa al Hikmah, Kitab Mujarabad dan lain-lain.

1.2.2 Mata pelajaran sampingan

Untuk menghilangkan rasa jemu di kalangan para pelajar mata pelajaran spt bernasyid, berzanji, marhaban dan qasidah turut diajar

1.2.3 Bahasa pengantar

Pembelajaran dijalankan dalam bahasa Melayu memandangkan banyak kitab-kitab Arab telah diterjemahkan kedalam bahasa Melayu.

1.2.3 Tenaga pengajar

Para pelajar diajar secara percuma, guru di sekolah pondok hanya mendapat khidmat tenaga anak-anak muridnya yang mengerjakan tanah sawah atau kerja-kerja pertukangan.

Hubungan antara guru dan anak-anak muridnya amat rapat, buka sahaja kerana kealiman guru berkenaan, bahkan rasa tanggungjawab guru berkenaan apabila para ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka untukdididik oleh guru berkenaan


1.2.4 Tempoh belajar 
Tempoh masa belajar di sekolah pondok tidak terhad, ada di kalangan para pelajar berada di institusi ini selama 10 tahun, malah ada di kalangan yg berpindah dari satu pondok ke pondok yang lain 


1.2.4 Kaedah pembelajaran

Dalam bentuk halaqah, di mana para pelajar akan membuat separa bulatan mengelilingi guru mereka. Selain itu guru-guru juga menggunakan kaedah hafalan, syarahan (kuliah), perbincangan (muhadatah), soal jawab perdebatan (mujadalah), pengembaraan (rehlah) dan lain-lain.

1.2.5 Lepasan pondok

Mereka akan menjadi tenaga pengajar di institusi pondok. Ada yang melanjutkan pelajaran ke Aceh, Mekah dan Madinah, kemudian apabila kembali mereka mengajar di pondok yang sama atau di tempat lain. Mereka juga boleh menjadi pendakwah di surau atau masjid.

2.0  Sejarah Dan Kronologi Penubuhan Institusi Pondok Lubuk Tapah,    
      Pasir Mas

Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan perkembangan pendidikan yang pesat yang telah melahirkan ulama’-ulama’ yang berwibawa. 

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, pendidikan Islam telah bermula pada akhir abad ke 18.Orang yang paling awal menyampaikan pendidikan Islam ialah Tuan Shyeikh Haji Abdul Halim. Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul pada pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke 19 lagi. Sistem ini dipercayai berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.

Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.Pondok Lubuk Tapah adalah pondok yang dibina pada tahun 1931 merupakan pondok yang lewat ditubuhkan jika ingin disbanding bezakan dengan pondok yang lain.

Pondok Lubuk Tapah atau nama rasminya Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah adalah sebuah institusi pengajian islam yang berkonsep tradisional dan merupakan antara pondok yang lama di Kelantan.

Pondok Lubuk Tapah mula diasaskan oleh AllahyarhamTuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan  pada tahun 1931 setelah kembalinya beliau daripada belajar di Mekah.Bertempat di Kampung Lubuk Tapah,Lemal Pasir Mas, dengan jarak kira-kira 4 km dari Bandar Pasir Mas dan 16 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, keluasan kawasan Pondok Lubuk Tapah adalah kira-kira dalam lingkungan 6 ekar.

Pada peringkat awal penubuhannya, kegiatan pondok ini adalah agak terhad   dengan bilangan pelajarnya yang tidak ramai manakala kemudahan-kemudahan asasnya pula tidak lengkap dan kurang memuaskan. Pada masa itu pondok-pondok pelajar terdiri daripada pondok sebuah-sebuah yang dibina sendiri oleh pelajar atau ibu bapa yang menghantar anak-anaknya memondok disini. Pondok-pondok dibina diatas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

Pelajar-pelajar yang datang menuntut di Pondok Lubuk Tapah datang dari seluruh negeri di Malaysia dan ada juga pelajar yang datang dari negara-negara jiran seperti Thailand,Indonesia,Singapura dan kemboja.

Sehingga kini Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ribuan pelajar dimana ada dikalangan bekas-bekas pelajar pondok ini pulang menyebarkan ilmu dan memberi khidmat kepada masyarakat samada mengajar dengan membuka pondok atau sekolah agama,mengajar di masjid dan madrasah,menjadi imam masjid,bilal dan sebagainya. Bagi menambahkan lagi kefahaman dalam ilmu pengetahuan agama,terdapat juga bekas-bekas pelajar yang melanjutkan pengajian mereka ke negara-negara timur tengah seperti ke Mesir dan Syria.

Pondok Lubuk Tapah mengalami perkembangan dan kemajuan dari masa ke semasa dan perubahan itu semakin ketara apabila Tuan Guru Haji Abdullah pulang dari Mekah pada Disember 1966 setelah berkelana menuntut ilmu di sana selama 14 tahun semenjak tahun 1953.Beliau yang merupakan anak  kedua kepada pasangan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan Hajah Nik Zainab binti Nik Mud membantu ayahnya mengajar dan mentadbir pondok hinggalah akhirnya beliau mengambil tempat ayahnya menjadi mudir  pondok. Dibawah pentadbiran beliau Pondok Lubuk Tapah semakin berkembang pesat dan semakin dikenali bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh Malaysia.

     Pada 19 Mac 2008, Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah mengalami ujian getir dan kehilngan permata yang tidak ternilai apabila mudirnya, juga seorang ulama dan pengasas Madrasah al-Rahmaniah, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi. Kemudian, Madrasah al-Rahmaniah Lubuk Tapah dipimpin oleh anaknya sendiri iaitu Dr. Ustaz Hj Lukman b Hj Abdullah yang merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya. Pada 22 Januari 2010, pondok Lubuk Tapah sekali lagi menerima musibah yang besar apabila tiga buah blok bangunan sekolah agama itu yang mula digunakan sejak 1931 musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi. Namun atas jasa dan sumbangan orang ramai, pondok Madrasah al-Rahmaniah kini dibina semula dan berkembang sebagai institusi pondok yang Berjaya di Nusantara. Bilangan pelajarnya semakin bertambah manakala infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asasnya juga Semakin baik dan lengkap. Sehingga kini terdapat kira-kira 400 orang pelajar yang menghuni di Pondok Lubuk Tapah termasuk dari kalangan warga tua dan mereka yang sudah berkeluarga.


Kebakaran yang berlaku pada 22 Januari 2010

3.0 Kronologi Perkembangan Sistem Pengajian Pondok

3.1 Perkembangan Sistem Pengajian Pondok Semasa British Sehingga Merdeka
Pendidikan agama pondok mempunyai sejarah yang tertentu samada diiktiraf ataupun tidak diiktiraf oleh mana-mana para pengkaji sejarah ataupun masyarakat sekarang ini. Sejarah pendidikan Agama pondok ini mempunyai sejarah yang gemilang pada awalnya namun semakin diketepikan disebabkan kerisauan oleh sesetengah pihak yang mendominasi pemebelajaran pada masa tersebut ekoran takutnya mereka akan fahaman Islam yang meluas pada masa tersebut.Menurut daripada sejarah awal, sewaktu era penjajahan British ke Tanah Melayu, sekitar tahun 1990, British telah menaja sekolah-sekolah berbentuk sekular. Iaitu wujudnya sekolah yang mengurangkan lagi kerapatan masyarakat pada masa tersebut untuk mengenal pengajian Islam. Hal  ini telah mewujudkan persaingan besar ke atas sekolah agama pondok. Namun, pelbagai cara telah digunakan oleh British bagi menarik minat masyarakat ketika itu untuk bersekolah di sekolah sekular. British menguatkan lagi hujah mereka dengan mengatakan bahawa sistem pengajian pondok adalah bersifat primitif berdasarkan mata pelajarannya yang tidak sama dengan apa yang diajar di sekolah Inggeris. Walaupun British telah mencuba pelbagai cara dan daya, ia tidak sedikit pun menggerakkan hati rakyat untuk berpindah ke sekolah sekular sebaliknya meneruskan pengajian mereka di sekolah pondok.

Sekolah pondok semakin mendapat sambutan ramai selepas tahun 1930. Ini jelas terbukti apabila bilangan murid yang kian bertambah terutamanya di Pondok Terusan Pasir Tumboh, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Keadaan ini berterusan dari tahun 1950 hinggalah 1970.

Secara kasarnya, kita dapat melihat era kegemilangan sekolah pondok yang semakin hari semakin mendapat tempat tempat di hati rakyat. Namun begitu, jika diamati pada tahun 1945, sebenarnya sistem pengajian pondok telah mengalami kemalapan. Ini berikutan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat sekolah pondok yang terpaksa ditutup dan ada juga yang menukar sistem pengajian kepada sistem sekolah. Misalannya, pada tahun 1958, Pondok Bunut Payung, Kota Bharu bertukar nama kepada Madrasah Islamiyah manakala pada tahun 1970, Pondok Haji Mohd Noor Kampung But menjadi Madrasah Saadah Qura.

           Kajian menunjukkan, di antara sebab yang yang menjurus ke arah kemunduran institusi pondok adalah kerana timbulnya perubahan-perubahan dalam perkembangan Islam di negeri Kelantan. Pada masa tersebut, institusi pondok terpaksa bersaing dengan sekolah-sekolah Agama (atau dipanggil Arab) Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Masyarakat telah menerima baik penubuhan sekolah-sekolah ini. Atas sebab itu, pihak MAIK semakin mempertingkat usaha membaiki sistem persekolahan dalam bidang pendidikan dan hasilnya, tertubuhlah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada 1 Oktober 1965. Faktor lain yang menjurus kepada kemerosotan sistem pengajian pondok ialah kerana perubahan politik negara ini, persaingan dengan sistem pendidikan moden, perubahan sosio-budaya masyarakat dan faktor dari dalam pondok itu sendiri, seperti tiada pengganti yang berwibawa selepas ketiadaan pengasasnya.

3.2  Sistem Pengajian Pondok Selepas Merdeka Sehingga Sekarang

Jika disoroti sejenak, Pendidikan Islam sebenarnya telah beroperasi di bawah zaman penjajahan selama lebih 400 tahun sehinggalah muncul Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960. Kedua-dua penyata ini ada menyebut untuk meletakkan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pernyataan tersebut telah dipersetujui maka pada tahun berikutnya, Akta Pelajaran 1961 telah memuatkan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam jadual waktu persekolahan dengan diberi peruntukan masa sebanyak 120 minit seminggu.

Pada hujung tahun 1960-an hingga awal 1970-an, beberapa orang pelajar telah bangkit mengemukakan usul, memohon agar masa untuk mata pelajaran Pendidikan Islam ditambah. Selain itu, mereka juga menuntut agar mata pelajaran tersebut turut diajar di maktab-maktab perguruan, manakala subjek Agama Islam dan Tamadun Islam hendaklah diperkenalkan di pusat-pusat pengajian tinggi. Sebuah universiti Islam perlu diwujudkan dalam negara dan mata pelajaran Agama Islam hendaklah diwajibkan dalam peperiksaan awam bagi memartabatkan lagi agama rasmi ini.

Menurut sumber, golongan yang bersuara dan mengemukakan cadangan-cadangan tersebut adala golongan yang terpelajar yang mendapat pendidikan di di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah berasrama penuh. Di samping itu, kegiatan Angkatan Belia Islam (ABIM) yang aktif memperjuangkan Islam ketika itu telah meletakkan Pendidikan Islam di tempat yang tinggi, yakni tempat asalnya dalam masyarakat Melayu. Bukti semangat perjuangan ABIM boleh dilihat melalui tunjuk perasaan yang pernah dilakukan di hadapan pintu menara gading.

    Setelah puas menyatakan hasrat, akhirnya permintaan pelajar-pelajar tersebut dilaksanakan oleh pemerintah ketika itu. Ia berlaku pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an di mana Maktab Perguruan Islam dan sebuah Universiti Islam telah ditubuhkan. Mata pelajaran Pengajian Islam (Tamadun Islam) juga telah dijadikan mata pelajaran wajib di peringkat tinggi. Hasrat hati pelajar-pelajar tersebut terus diterima dengan hati yang terbuka berikutan pertambahan waktu mata pelajaran Pendidikan Islam daripada 120 minit kepada 240 minit seminggu.

Martabat agama Islam terus dilonjak, menyaksikan slogan “kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan” sebagai salah satu teras dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bermula tahun 1980. Di samping itu, pernyataan “melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani” yang termuat dalam FPN adalah bukti jelas yang menunjukkan keprihatinannya dalam melahirkan rakyat Malaysia yang sentiasa taat dan patuh.

Sebaik tindakan ini dilakukan oleh FPN, maka keseluruhan Struktur Kurikulum Pendidikan Kebangsaan telah diubahsuai supaya setiap subjek yang diajar di peringkat sekolah akan memegang kuat cita-cita FPN tersebut. Caranya ialah dengan menerapkan nilai-nilai murni, aqidah dan syariat Islamiyyah dalam pendekatan pengajaran contohnya dalam mata pelajaran Sains dan Geografi. Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) juga terus berkembang di seluruh negara. Bagi sekolah-sekolah menengah kebangsaan pula, wujud beberapa mata pelajaran elektif (pilihan) umpamanya Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiyyah. Dari sini, dapatlah difahami bahawa Pendidikan Islam semakin lama semakin mendapat perhatian negara.

4.0 Ciri-Ciri Sistem Pendidikan Agama Di Pondok Ar-Rahmaniah Ad-Diniah  
      Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Mengikut daripada kronologi perkembangan sistem pondok. Pada dasarnya  sistem pendidikan agama  pondok adalah berasaskan pendidikan yang tiada had iaitu tiada batasan mengikut  had umur dan tidak dikira dari segi sudut jantina dan kebolehan tertentu. Apa yang dikelaskan ialah kebolehan mengenai kebolehan seseorang untuk membaca tulisan jawi dan boleh membaca Al Quran. Setiap individu samada muda,tua lelaki atau perempuan tidak ada batasan dari had umur dan jantina untuk mempelajari dalam bidang agama pondok ini.Dari segi penilaian,tidak ada penilaian dari segi peperiksaan,yang ada hanyalah penilaian berdasarkan lulus atau gagal. Sekiranya pelajar dalam bidang ini tidak lulus, maka dia dikehendaki mengulangi sehinggalah lulus dan pergi kepada tahap seterusnya.Perkara di atas ialah perkara yang berkaitan dengan personality asas pendidikan agama pondok. Seterusnya ialah keterangan mengenai Sistem Pendidikan Agama Pondok.

Sistem pengajian di Pondok Lubuk Tapah masih mengekalkan sistem pengajian pondok tradisional dalam bentuk yang asal iaitu lebih berdasarkan metode halakah dan kuliah. Berdasarkan metode ini, pelajar akan membuka kitab berhadapan  dengan  guru lalu guru tersebut membaca dan membuat huraian bagi setiap kandungan kitab tersebut didalam majlis kuliah yang diadakan.Pengajaran dan huraian dilakukan secara teliti dan mendalam oleh guru bertujuan untuk memberi kefahaman yang jelas dan luas kepada pelajar.

            Mata pelajaran yang dipelajari di sini meliputi hampir semua bidang asas pengajian islam seperti al-Quran, Tauhid, Fiqh, Usul Fiqh, Tasawuf, Tafsir, Hadis, Mustalah Hadis, Sirah, Nahu, Saraf, Balaghah dan lain-lain lagi. 

Kitab-kitab yang dipelajari di Pondok ini pula terdiri daripada kitab-kitab turath yang muktabar karangan ulama-ulama mujtahidin dan lain-lainnya dalam bahasa Arab dan Melayu bertulisan jawi.Tenaga-tenaga pengajarnya pula selain daripada tuan guru sebagai guru utama beliau turut dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar yang lain yang terdiri daripada pelajar-pelajar lama.

Secara umumnya sistem pengajian di Pondok Lubuk Tapah terbahagi kepada empat tahap mengikut kepada kemampuan pelajar iaitu kelas rendah bagi pelajar yang baru hendak belajar menulis dan membaca jawi. Tahap dua pula adalah kelas peralihan untuk pelajar yang baru pandai membaca dan menulis jawi dan mereka biasanya mempelajari kitab-kitab jawi yang rendah dan mudah difahami.Tahap tiga pula adalah kelas menengah yang menyediakan kelas-kelas untuk pelajar yang sudah pandai dan lancar membaca jawi. Mereka mengikuti kelas pengajian kitab-kitab jawi yang agak tinggi serta turut diajarkan ilmu nahu  ( tatabahasa arab ) dan sorof.Tahap empat pula adalah untuk pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian kitab-kitab arab yang dipanggil kelas tinggi/arab. Kebanyakan kitab-kitab arab diajar oleh tuan guru sendiri.Seterusnya ialah aspek sistem penilaian.

Sistem penilaian seperti peperiksaan tidak diwujudkan sebaliknya seseorang pelajar dibolehkan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan kemampuannnya memahami pelajaran atau kitab yang baru dipelajari. Kebolehan akan dinilai dan akuan guru merupakan syahadah yang tidak ternilai dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun. Bagi membuktikan kebolehan tersebut, pelajar hendaklah mempraktik dan mengamalkan setiap titis ilmu yang dipelajari. Bagi pelajar-pelajar yang agak lemah, mereka dikehendaki mengulangi semula pelajaran tersebut sehinggalan mereka boleh menguasainya dengan baik sebelum menyambung ke peringkat seterusnya.

Seperti mana yang telah diterangkan di atas,  waktu pembelajaran di semua institusi pondok adalah hampir serupa. Para pelajar belajar tiga kali sehari; pagi, petang dan malam. Waktu pembelajaran untuk sesi pagi ialah seusai solat Fajar sehingga jam 12.00 tengahari. Waktu untuk sesi petang pula adalah sebaik menunaikan solat Zohor sehingga masuknya waktu solat Asar. Manakala waktu pembelajaran pada sebelah malam bermula selepas menunaikan solat maghrib diikuti kuliah maghrib seterusnya selepas waktu isya’. Kelas-kelas pengajian diadakan hampir tiap-tiap hari dan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi pagi,petang ( bermula selepas zohor hingga selepas asar ) dan malam. Walaupun hari jumaat dan sabtu diletakkan sebagai cuti mingguan pondok namun kelas tuan guru bagi sesi malam masih berjalan seperti biasa.Tuan guru juga mengajar di Madrasah Pondok Kubang Bemban ( Pondok ayah mertua beliau; Allahyarham Tuan Guru Haji Ghani ) pada tiap-tiap hari sabtu mulai sebelas pagi hingga zohor.Apa yang diterangkan di atas ialah mengenai pendidikan yang masih digunakan di Pondok Lubuk Tapah. Seterusnya ialah perkembangan dan kronologi perkembangan pendidikan agama pondok.

Mengikut daripada kronologi perkembangan sistem pondok. Pada dasarnya  sistem pendidikan agama  pondok adalah berasaskan pendidikan yang tiada had iaitu tiada batasan mengikut  had umur dan tidak dikira dari segi sudut jantina dan kebolehan tertentu. Apa yang dikelaskan ialah kebolehan mengenai kebolehan seseorang untuk membaca tulisan jawi dan boleh membaca Al Quran. Setiap individu samada muda,tua lelaki atau perempuan tidak ada batasan dari had umur dan jantina untuk mempelajari dalam bidang agama pondok ini. Dari segi penilaian, tidak ada penilaian dari segi peperiksaan,yang ada hanyalah penilaian berdasarkan lulus atau gagal. Sekiranya pelajar dalam bidang ini tidak lulus,maka dia dikehendaki mengulangi sehinggalah lulus dan pergi kepada tahap seterusnya.


Ruang Solat Utama di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Lubuk Tapah, Pasir Mas.

5.0 Kepentingan Sistem Pendidikan Pondok Sebagai Pendidikan Awal dan
      Kepada Perkembangan Pendidikan Hari Ini

Sebelum ini, kita juga telah melihat sejarah perkembangan sistem pengajian pondok yang pada mulanya mendapat sambutan tetapi kian merosot permintaannya berikutan kewujudan sekolah-sekolah sekular dan sekolah-sekolah agama. Walaupun institusi ini mengalami pasang surut, para alim ulama dan guru tidak pernah berpatah hati berputus harap sebaliknya terus berusaha memperjuang institusi warisan Rasulullah S.A.W. ini. Hal ini terbukti apabila sistem pengajian pondok mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-20. Kejayaan ini adalah hasil usaha para alim ulama terdahulu yang telah berjaya melahirkan ramai anak murid berkebolehan dan menanam semangat kecintaan mereka dan masyarakat terhadap Allah.


Sebab lain yang mendorong masyarakat menerima semula institusi ini adalah kerana kitab-kitab yang digunakan telah diterjemah oleh para guru yang mahir. Tambahan pula, kitab-kitab tersebut tidak lagi ditulis tangan tetapi dicetak. Dengan adanya kitab-kitab bercetak ini, masyarakat dapat mengikuti “halaqah” pengajian agama di pondok-pondok mahupun di masjid-masjid. Kewujudan kitab yang dicetak dan dikarang dalam Bahasa Melayu telah membantu perkembangan institusi pondok menjadikan ia sebuah institusi yang paling terkenal dengan pengajaran agama.

Tahun demi tahun berlalu, pusat pengajian pondok telah mengalami era kebangkitan semula setelah sekian lama dibekukan. Demi mempertahankan fungsinya sebagai pusat pengajian agama yang paling berkesan, Pada tahun 1981, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan telah diserapkan ke dalam Universiti Malaya dan dikenali dengan Akademi Pengajian Islam. Manakala pada tahun 1995, para guru dan alim ulama telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB). Pusat yang dibina di Kelantan itu adalah bermatlamat untuk membangunkan pondok-pondok yang bernaung di bawahnya samaada dari aspek pentadbiran pondok, kemudahan asas ataupun guru-guru yang yang mengajar. Antara sekolah-sekolah pondok di bawah naungan PPPB ialah:

a)    Madrasah Diniah Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh)
b)    Madrasah Rahmaniah (Pondok Lubuk Tapah)
c)    Madrasah Muhammadiah (Pondok Sg.Durian)
d)    Madrasah Yusufiah (Pondok Gelang Mas)

Warna kegemerlapan institusi pondok semakin terlakar indah dan jelas kelihatan apabila ia melahirkan ramai cendekiawan terkenal di rantau ini. Walaupun sistem pendidikan moden tumbuh bagai cendawan selepas hujan, ini sedikit pun tidak menggugat sistem pengajian pondok secara keseluruhannya. Para pencinta dan pendokong institusi pondok masih mengekalkan sistem pengajian pondok yang asal, dan ada juga yang menggabungkan kedua-dua sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok, dikenali sebagai “sistem ala-pondok”. Di antara sekolah-sekolah pondok yang masih mengekalkan identiti dan sistem pengajian tradisional adalah Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.

Walaupun begitu, terdapat sedikit pengubahsuaian dari sudut kurikulum dan kokurikulum dalam system pengajian pondok.Umumnya,kurikulum di sekolah pondok selepas merdeka mengandungi empat tahap:

Tahap1 : Mengenal Al Quran
Tahap 2 : Belajar kitab-kitab jawi kecil dan asas Bahasa Arab.
Tahap 3 : Belajar kitab-kitab jawi besar dan kitab arab kecil.
Tahap 4 : Menghabiskan kitab-kitab.

Seperti juga kaedah yang digunakan sebelum merdeka, seseorang pelajar akan didedahkan kepada kitab yang rendah (asas) sebelum  berpindah ke kitab yang besar. Berkaitan dengan  kokurikulum  pula, para   pelajar akan diajar cara-cara untuk bersyarah, berzanji, berzikir, menjadi Imam solat dan    menyampaikan ceramah atau tazkirah. Tidak terhad dengan itu, para pelajar juga didedahkan dengan kerja-kerja kebajikan yang membabitkan masyarakat setempat. Nyata, sistem pengajian pondok sudah mengambilkira keperluan semasa dengan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial. Bermuamalah dengan orang sekeliling adalah salah satu cara mereka berdakwah selain cara berpakaian dan perilaku yang sopan yang mampu menjadi teladan terutama kepada golongan belia di luar sana. Semoga usaha yang dilakukan oleh warga sekolah pondok ini tidak terhenti di tengah jalan dan terus bernafas demi menaikkan lagi nama institusi tersebut dan seterusnya meningkatkan penguasaan mereka dan masyarakat sekeliling terhadap agama Allah.

Saf-saf Pimpinan Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Lubuk Tapah, Pasir Mas.

6.0 Rumusan

Pondok adalah sebuah tempat pengajian yang menjalankan sistem pengajiannya yang tersendiri. dan unik. Sistem talaqi (Menadah kitab) merupakan sistem utama yang diamalkan di pondok. Di sini Tuan-tuan Guru bukan setakat sebagai seorang tenaga pengajar, akan tetapi sebagai qudwah (teladan) bagi pelajar-pelajar, di samping sebagai penasihat dan pembimbing pelajar tersebut sepanjang masa. Perkara ini berterusan sehinggalah pelajar tersebut mampu untuk membaca kitab sendiri seterusnya sudah mampu berdiri sendiri dan keluar sebagai seorang Tuan Guru yang baru untuk mengembangkan sistem pondok ini khususnya dan islam amnya.

             Dini kita dapat tafsirkan bahawa banyak kelebihan mempelajari ilmu agama. Antaranya ialah dapat menghidupkan sunnah Nabi Muhammad s.aw. Sesiapa yang menghidupkan Sunnah di zaman kerosakan umat akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid. Seterusnya, menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid. Disamping itu, syaitan benci dan takut kepada seorang yang berilmu lebih daripada 1000 orang abid, kerana tugas Syaitan ialah untuk menyesatkan manusia, tetapi seorang yang berilmu pula boleh mengembalikan mereka semula ke pangkal jalan.  Orang-orang yang berhimpun dalam majlis dzikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan. Majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ilmu seperti pendidikan pondok sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para Sahabat RA menghadiri majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut. Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka. (Sebab itulah, kita juga digalakkan untuk buat majlis ta'alim di rumah, agar ahli keluarga kita juga akan dapat hidayah, biarpun yang nampak hanya kita seorang saja yang baca kitab ta'alim, tetapi para malaikat sebenarnya ada bersama kita dan sedang mendengar apa yang kita bacakan.)