Sunday 19 April 2015

Kelebihan Menjadi Guru Cemerlang


Kerap juga saya mendapat soalan sebegini apabila ditanya mengenai apa kelebihan menjadi Guru Cemerlang. Ramai juga yang nak tahu apa sebenarnya yang kita dapat jika kita menjadi seorang Guru Cemerlang. Saya kongsikan sedikit beberapa kelebihan bergelar Guru Cemerlang, berdasarkan kepada pengetahuan saya dan pendapat rakan guru yang lain.






1. Kenaikan Pangkat Lebih Cepat

Laluan kecemerlangan ini merupakan laluan fast-track yang paling laju jika anda berhajat untuk naik pangkat dengan paling cepat. Untuk DG41, kebiasaannya kita perlukan 8 tahun perkhidmatan untuk kenaikan pangkat secara time-based ke DG44. Itupun mesti melalui TBBK, Time-Based Berasaskan Kecemerlangan yang perlu melalui proses yang lebih kurang sama dengan memohon Guru Cemerlang, iaitu perlukan dokumentasi apa yang kita buat 3 tahun kebelakang. Itupun kenaikan bukan secara automatik. Maka adalah juga kes yang gagal TBBK. Jadi, jangan seronok sangat.








Boleh juga tengok jadual perbandingan di atas bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai tempoh tahun perkhidmatan. Dalam kes saya, saya dilantik DG44, 2 tahun lebih awal berbanding rakan-rakan yang memilih laluan timebased walaupun kami sama-sama posting pada tahun 2007. Malah ketika mereka sedang mengumpul bahan untuk memohon TBBK bagi gred DG44, saya pula sudah layak untuk memohon Guru Cemerlang bagi gred DG48!



2. Gaji Besar

Ini juga antara motivasi utama bagi sesetengah orang yang memohon Guru Cemerlang. Dengan gred yang lebih besar, sudah tentu kita akan mempunyai gaji yang lebih besar, secara logiknya. Dengan kenaikan 2 tahun lebih awal bagi gred DG44, ataupun 5/6 tahun bagi gred DG48, maka sudah tentu ini merupakan galakan terbaik bagi guru yang berhajat nak menambah pendapatan sebagai guru dengan cara yang lebih cepat.








Kenaikan tahunan juga akan berubah. Semasa di gred DG41, kenaikan tahunan adalah sebanyak RM225. Bagi gred DG44 pula, kenaikan tahunan adalah sebanyak RM250. Dan bagi gred DG48 pula, kenaikan tahunan adalah RM275. Ini bermakna, beza gaji hampir RM1000 bagi tahun ke-8 untuk 2 orang yang posting pada tahun yang sama, tetapi dengan laluan timebased dan laluan kecemerlangan. Tepuk dada, tanya selera.



3. Gelaran Guru Cemerlang

Ada juga yang memohon laluan kecemerlangan ini untuk gelaran Guru Cemerlang tersebut. Mungkin pada beliau, ini merupakan satu cara yang boleh menunjukkan status beliau pada guru-guru lain. Kalau tidak masakan, ada sesetengah Guru Cemerlang yang dengan bangganya sekali asyik mengaku Guru Cemerlang, setiap kali berjumpa dengan guru-guru lain di mesyuarat, bengkel atau apa-apa lain. Untuk tujuan apa tak pasti. Tapi saya mohon berlindung dengan Allah, semoga dijauhkan dengan perasaan ujub dan syok sendiri ini. Amin!







Betulkan niat, inshaAllah pasti apa yang anda dapat itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan rakan guru yang lain. Anda jangan risau, spesies yang sebegini tak banyak. Tapi kalau anda berpeluang berjumpa, maka ambil masa dan Selamat Berkenalan.. ;)



4. Tidak Terlibat Pentadbiran

Ada juga mereka yang memohon Guru Cemerlang kerana tidak mahu terlibat dengan bidang pentadbiran. Maknanya guru ini hanya mahu memfokuskan kepada kerja mengajar sahaja. Kerja pentadbiran yang saya maksudkan di sini adalah kerja pentadbiran hierarki tinggi seperti Ketua Bidang, dan Guru Penolong Kanan. Ini kerana, bagi mereka yang dilantik sebagai Guru Cemerlang, mereka perlu melepaskan jawatan tersebut jika permohonan mereka sebagai Guru Cemerlang berjaya. 








Bermaksud juga mereka yang sudah dilantik sebagai Guru Cemerlang, tidak boleh dilantik sebagai Ketua Bidang atau Penolong Kanan di sekolah. Manakala bagi Ketua Bidang dan Penolong Kanan yang berjaya dalam permohonan mereka sebagai Guru Cemerlang, perlulah meletakkan jawatan mereka.


Ini juga antara sebab kenapa saya memohon Guru Cemerlang. Sebab saya tak berminat dalam bidang pentadbiran, dan rasanya kurang berkemahiran. Maka lebih baik untuk saya fokuskan kepada kerja-kerja mengajar yang saya suka. Tahukah anda, menguruskan 1000 orang murid adalah jauh lebih mudah daripada menguruskan 10 orang cikgu? ;)



5. Berkongsi Pengetahuan

Ini juga antara sebab kenapa saya memohon Guru Cemerlang. Iaitu bagi tujuan untuk berkongsi pengetahuan saya dengan rakan guru yang lain. Diulangi yer, berkongsi. Bukan mengajar guru-guru lain. Saya percaya, setiap guru ada kaedah mereka sendiri. Ada yang berkesan, ada yang kurang berkesan. Sama juga yang berlaku pada saya. Maka, jika kita ada sedikit kaedah yang boleh membantu, apa salahnya jika kita berkongsi dengan rakan guru yang lain demi kebaikan pelajar. 








Dengan gelaran Guru Cemerlang juga maka lebih mudah anda dikenalpasti oleh sekolah dan pihak-pihak lain bagi dijemput untuk berkongsi pengetahuan. Maka gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin bagi mencurahkan ilmu dan pengetahuan anda kepada mereka yang memerlukan. InshaAllah peluang untuk anda berkongsi ilmu akan lebih terbuka luas apabila anda bergelar seorang Guru Cemerlang.


Pelik juga apabila ada sesetengah guru yang suka betul "simpan ilmu" dan tak mahu berkongsi dengan rakan guru yang lain, demi nak memastikan peratus kejayaan di sekolahnya adalah yang paling tinggi. Kedekut dan kejam! Jika ada dalam kalangan kita yang bersikap begitu, maka buanglah jauh-jauh sifat tersebut. Percayalah, ilmu akan lebih banyak bertambah, jika kita lebih banyak memberi.



6. Motivasi Bekerja Lebih Kuat

Gelaran Guru Cemerlang ini juga boleh menjadi sumber motivasi kepada kita untuk bekerja dengan lebih kuat. Sudah tentu kita nak menghasilkan sesuatu yang lebih luar biasa bagi memenuhi tanggungjawab sebagai Guru Cemerlang. Secara tak langsung ini mendorong kita untuk menghasilkan kaedah mengajar, teknik, dan inovasi yang lebih berkesan dalam pdp. Perkara ini kemudiannya dikongsikan dengan rakan guru yang lain dan dapat juga menggalakkan rakan guru untuk turut serta menghasilkan perkara-perkara luar biasa.




7. Idola Kepada Rakan Guru Lain

Dengan mutu kerja yang hebat dan status Guru Cemerlang sebagai bukti kecemerlangan anda, maka tak mustahil anda menjadi idola dan ikutan kepada rakan guru yang lain yang juga mahu berjaya seperti anda. Kehebatan anda di bilik darjah dan di luar, perlulah cukup mengkagumkan guru-guru lain. Baru sesuai gelaran tersebut dengan anda.








Maka untuk itu, saya menyeru kepada semua rakan Guru Cemerlang menunjukkan mutu kerja yang betul-betul cemerlang, sesuai dengan gelaran yang anda perolehi. Gelaran Guru Cemerlang bukan satu lesen untuk kita duduk selesa tanpa perlu berusaha apa-apa lagi. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Masih banyak tanggungjawab dan amanah yang perlu ditunaikan. Maka bekerja lah dengan sebaik mungkin.



Walau apa pun alasan anda, saya yakin bahawa anda mempunyai alasan anda yang tersendiri untuk memohon Guru Cemerlang. Berusahalah sebaik mungkin jika ada peluang. Peluang perlu direbut, sebab peluang tak akan datang banyak kali. Jika gagal, maka berusahalah lagi. Jangan cepat putus asa. Dan jika berjaya, tunaikanlah tanggungjawab dan amanah anda sebagai Guru Cemerlang dengan sebaik mungkin!



p/s: Bagi yang berminat nak memohon Guru Cemerlang, anda boleh teruskan bacaan entri ini untukPanduan Memohon Guru Cemerlang

No comments:

Post a Comment