Wednesday, 4 March 2015

GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

DEFINISI GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

Era globalisasi meletakkan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Untuk menjadi sebuah Negara membangun sepenuhnya, Malaysia perlu meningkatkan daya saing dan meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Sebelum kita menyelami segala perihal berkaitan globalisasi, adalah lebih baik kita memahami maksud sebenar globalisasi.  Berdasarkan gambar rajah di bawah ada sedikit maklumat berkaitan dengan definisi globalisasi dalam pendidikan. 


                                         gambar rajah 1



                   
Globalisasi berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu globalization juga perkataan globalisasi diungkap menerusi Bahasa Perancis iaitu perkataan monodialisation yang mana semuanya bermaksud ‘seantero dunia’.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ( 1986) telah mentafsirkan global bermaksud mengenai dunia seluruhnya atau pada keseluruhannya dan pada umumnya.Manakala, globalisasi pula bererti fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat.

Scholte (2000), menyatakan globalisasi ialah proses menyingkirkan batasan atau sekatan kerajaan mengenai pergerakan antara negara supaya mewujudkan satu ekonomi dunia yang terbuka dan tanpa sempadan.
Berdasarkan himpunan penulisan dan pandangan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamed sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia telah mengingatkan agar masyarakat Malaysia tidak dipengaruhi dengan arus globalisasi sehingga berjaya menghancurkan mereka, sebaliknya kita perlu membina kekuatan dan menangkis unsur-unsur negatif yang membawa kesan buruk kepada kita.

Kita sedia maklum bahawa dengan globalisasi perkembangan yang signifikan dapat dicapai dan ianya berfokus kepada profesion keguruan yang semakin mencabar di negara ini. 




PERKEMBANGAN PROFESIONALISME KEGURUAN MELALUI GLOBALISASI


Dengan globalisasi yang semakin rancak menguasai dunia-dunia dalam pelbagai bidang seperti politik, sosial, pendidikan dan ekonomi ianya memberikan kelebihan menerusi perkembangan profesionalisme keguruan dalam bidang pendidikan khasnya. Berdasarkan gambar rajah di bawah terdapat lima perkembangan yang jelas diperoleh menerusi globalisasi.


                                           

Meluaskan peluang kepada guru dalam perkhidmatan dan guru dalam latihan dari aspek pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme. Ini dilihat menerusi adanya peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang ditawarkan bagi memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam sesuatu tempoh yang telah ditetapkan mampu meningkatkan lagi taraf profesionalisme keguruan.


Selain itu, menerusi globalisasi ianya dapat meluaskan pengetahuan guru secara global. Seperti yang kita tahu, guru perlu sentiasa mengekalkan nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan produk berkualiti atau modal insane yang diperlukan di Negara kita. Guru perlulah peka dengan perkembangan semasa kerana selain tanggungjawab menyalurkan ilmu kepada murid, guru menjadi sumber rujukan dan teladan bagi masyarakat di sekeliling.

Dengan globalisasi guru dapat meningkatkan kemahiran ICT dan interaksi global yang mana ianya meluaskan konsep pembelajaran mengatasi bilik darjah. Contohnya, dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang merentasi penyediaan pengalaman murid tanpa terbatas. Contohnya, murid berpeluang melihat keadaan gunung berapi, keadaan di kutub utara dan menyelami di dasar laut menerusi carian laman video pendidikan di internet.

Meluaskan lagi program pensiswazahan guru bagi memperbaiki taraf kualiti dan taraf profesionalisme guru setanding dengan guru-guru di negara luar agar produk yang dihasilkan mampu membangunkan negara kita dengan lebih maju dan berjaya.

Dengan globalisasi ianya meletakkan profesion keguruan sebagai satu profesion yang penting. Ini kerana berjayanya sesebuah negara adalah dengan berjayanya negara itu menghasilkan modal insan berguna yang akan membangunkan negaranya setaraf dengan negara maju yang lain.


CABARAN GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

Menerusi pandangan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamed sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia mengenai dunia globalisasi terdapat sebanyak lima cabaran asas terhadap dunia globalisasi seperti yang dilihat menerusi rajah di bawah.


                                                    gambar rajah 2

Dalam membincangkan keperluan perubahan dari aspek bidang pendidikan dalam era globalisasi, pihak UNESCO telah mencadangkan untuk merombak cara-cara membangunkan potensi sumber manusia melalui tata cara pendidikan secara formal dan tidak formal. Menurut Hussein Ahmad ( 2001) menyatakan supaya diperbanyakkan institusi latihan dan pendidikan bagi orang-orang dewasa yang sudah mempunyai kerjaya untuk membangun dan mengembangkan potensi sumber manusia bagi membolehkannya memberi sumbangan lebih bermakna kepada pembangunan negara dan juga perkembangan diri individu itu sendiri. Ini bermakna mereka akan mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang perlu dikuasai bagi menghasilkan produk berkualiti sesuai dengan peraliran semasa yang mana menuntut kecekapan dan kesiap siagaan yang tinggi dalam berhadapan dengan pelbagai kemungkinan era globalisasi kini.

Selain itu, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menghadapi cabaran tersebut sebagai kesan daripada arus globalisasi. Hallinger (1998), menegaskan globalisasi telah mendorong berlakunya anjakan paradigma yang amat ketara di kebanyakan negara dalam konteks untuk mencari makna terhadap kualiti pendidikan dan juga kurikulum yang ditawarkan. Ini bermaksud, terdapat perubahan kurikulum terutama dari segi strategi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran telah diperkenalkan seperti:

1. Sekolah Bestari: Tumpuan kepada proses pengembangan dan pemupukan pembelajaran dengan menggunakan komputer dan penggunaan multimedia.

2.  Projek Sekolah Net: Penggunaan komputer peribadi dan persekitaran Local Area Network (LAN). Guru berfungsi sebagai penerima maklumat sesuatu bahan kurikulum dan pembelajaran daripada luar dan kemudian menyalurkannya kepada pelajar. Ini memberi peluang kepada pelajar mendapat kemahiran dan maklumat sesuai dengan keupayaan mereka dan aplikasi pelbagai stail pembelajaran.

3. Projek Smart Lab: Menggunakan jaringan komputer bagi membolehkan pelajar mengakses ilmu dan maklumat daripada pelbagai sumber dengan guru berfungsi sebagai pemandu, pelayar dan pemudahcara.

4. Projek Sekolah Vista: Perisian aplikasi bagi pengurusan bilik darjah untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi membolehkan guru menguruskan bilik darjah dengan berkesan dan memberi peluang kepada pelajar berkomunikasi secara elektronik dengan rakan dan guru.

Tambahan pula, perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat, kurikulum di Malaysia juga telah disemak semula dan diberi nilai tambah supaya kurikulum tersebut adalah relevan dan berupaya untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran tertentu bagi menghadapi persekitaran global setelah mereka melepasi alam persekolahan.

Cabaran ketiga ialah dalam pengurusan pendidikan. Dalam hal ini, pengurusan pendidikan telah mengalami transformasi dalam perkembangan dunia global terutama dari segi penggunaan teknologi telekomunikasi dan pengkomputeran. Beberapa perisian baru telah diaplikasikan yang dikenali sebagai Pengurusan Maklumat Sekolah (School Management Information System) bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan. Dengan aplikasi tersebut ianya sedikit sebanyak membantu dalam pengurusan pendidikan seperti:

- Membantu dan mempermudahkan pengurus sekolah membuat keputusan.
- Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran.
- Mengurangkan beban pengurus dalam melaksanakan tugas yang pelbagai.
- Meningkatkan kecekapan sistem pengurusan fail.
- Memudah dan menjimatkan masa dari segi mengumpul, memproses dan 
menyimpan  data seperti laporan kehadiran pelajar.
-Meningkatkan kecekapan dalam penyediaan gred/markah peperiksaan 
pelajar.
- Penempatan pelajar dalam kelas.
-Membuat agihan jadual waktu mengajar guru.
-Pembinaan jadual waktu guru.
- Membuat agihan sumber kewangan, buku teks, dan sebagainya.
-Menyimpan data mengenai stok dan inventori sekolah serta pelbagai 
urusan 

rutin yang 




dikendalikan pentadbir dan guru.














                                                            






                                                 (Rahmad Sukor, 2006)





 


      


Hussein Ahmad (2001) memberi penegasan bahawa proses globalisasi yang melanda dunia telah membawa perubahan yang mendadak kepada perlakuan hidup dan norma kehidupan manusia di seluruh dunia. Sama ada sesebuah negara itu kecil atau besar, pedalaman benua mahu pun di kepulauan kecil, di pergunungan tinggi mahu pun di lereng, kaki dan lembah bukit, kesemuanya telah menerima tempias dan pengaruh fenomena globalisasi. Kesan yang paling ketara akibat pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat. Oleh itu, aspek berkaitan keperibadian guru, budaya sekolah dan aktiviti-aktiviti kokurikulum kerana perkara tersebut memberi impak tersendiri dalam pembentukan moral pelajar seperti di bawah:




1. Keperibadian guru: Guru perlu menampilkan perawakan yang positif terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Perwatakan guru yang jujur, amanah, bersopan santun, penyayang, penyabar, sedia memberi pertolongan, sedia berkorban dan berdedikasi perlu diterampilkan supaya dapat menjadi contohan pelajar. Guru juga perlu membawa watak orang yang taat kepada amalan agama.

2. Budaya sekolah: Budaya sekolah yang mempraktikkan sikap amanah, ketekunan, cintakan kecemerlangan, berkasih sayang, bertolong bantu, kesantunan akhlak dan mengamalkan kehidupan beragama adalah elemen-elemen yang perlu dihidupkan dan dihayati secara berterusan. Aspek tersebut merupakan nilai yang seharusnya diberikan perhatian secara bersungguhsungguh oleh pihak pentadbiran sekolah

3. Aktiviti kokurikulum: Aktiviti seperti pakaian beruniform, persatuan, kelab dan kegiatan sukan dapat memberi input penting kepada pembentukan sahsiah pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru akan menyuburkan sikap positif terhadap semangat bekerjasama, berdikari, tolong menolong, semangat cinta akan negara dan berdisiplin.

Cabaran kelima yang wujud dalam globalisasi dalam pendidikan ialah perkembangan profesionalisme guru. Satu perbahasan relevan tentang globalisasi ialah pengkajian mengenai kesan globalisasi terhadap perkembangan profesionalisme keguruan. Usaha yang dilihat menerusi cabaran globalisasi dalam perkembangan profesionalisme keguruan ialah dapat meningkatkan kualiti guru sama ada dari segi kelayakan akademik, kepakaran dalam pengajaran, kualiti professional dan kualiti personal atau kepimpinan guru dalam organisasi sekolah dan masyarakat, meluaskan pengetahuan guru bersifat global, kemahiran ICT dan interaksi global membolehkan guru meluaskan konsep pembelajaran mengatasi halangan bilik darjah dan birokrasi sekolah, meluaskan peluang kepada guru perkhidmatan dan guru-guru dalam latihan dari segi pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme dan sebagainya.

Kesimpulannya, masyarakat masa kini sangat prihatin dan mengikuti perkembangan pendidikan
dengan penuh minat dan bersikap kritikal terhadap isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan kemajuan anak-anak mereka. Pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.

KRISIS GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

Satu perancangan yang lebih baik boleh dilakukan dengan mengkaji krisis pendidikan global yang mana ianya mendedahkan guru dengan pengetahuan yang berlaku di negara-negara lain. Kebanyakan Negara membangun mengalami kesan negatif globalisasi bagi membangun dan memajukan bidang pendidikan. Globalisasi memberikan kesan buruk terhadap keadaan ekonomi Negara membangun, di samping perdagangan pendidikan dan budaya dari Negara-negara Barat yang menguasai pasaran pendidikan di negara membangun. Antara krisis pendidikan global dapat dilihat menerusi gambar rajah di bawah.



Krisis kewangan timbul apabila negara membangun menimbulkan masalah membiayai perbelanjaan untuk pembangunan pendidikan. Ini termasuklah penyediaan kemudahan pendidikan seperti menyediakan peluang pendidikan untuk semua, bantuan pendidikan buku teks, menyediakan sekolah dengan infrastruktur lengkap, pendidikan literasi komputer dan sebagainya.

Selain itu, program twinning iaitu program kembar pendidikan diperluaskan melibatkan institusi pendidikan membangun dengan negara maju.  Apa yang pasti, program seperti ada kepentingan kerana pengetahuan dan kemahiran tertentu dipindahkan kepada tenaga pengajar di negara ini seperti latihan kepakaran dalam bidang perubatan, biodiversiti dan kejuruteraan.

Persaingan untuk memantapkan kualiti diri dengan kepakaran dalam sesuatu bidang dan kemahiran tertentu akan menghasilkan produk pendidik yang setaraf dengan pendidik di negara luar. Persaingan adalah suatu dorongan untuk perubahan dan kemajuan yang penting dalam era globalisasi.

Tambahan pula, dalam profesion keguruan, nilai intelektual perlu dipertahankan dan sentiasa dipertingkatkan kerana warga pendidik merupakan agen dalam membentuk modal insan yang berkualiti. Ini bermakna, guru perlu sentiasa ke hadapan dalam mendidik dan memimpin masyarakat kea rah perubahan dan kemajuan.

Krisis pendidikan global seperti jurang pendidikan juga menimbulkan kebimbangan. Ini kerana pelaburan yang rendah dalam bidang pendidikan di negara membangun dan persaingan global meningkatkan perbelanjaan pendidikan yang mana ianya menyulitkan untuk usaha ke arah merapatkan lagi jurang pendidikan.


PERANAN INSTITUSI KELUARGA DAN SEKOLAH DALAM MEMBINA KEMAHIRAN 7M BERDASARKAN GLOBALISASI




Dunia sekarang sedang menghadapi era globalisasi yang kian memuncak. Keterbatasan dalam memantau penerimaan ledakan sumber dan bijak menapis serangan unsur-unsur perlu dilaksanakan dengan segera agar kita tidak jatuh dalam arus globalisasi. Globalisasi jika dilihat memberikan manfaat dan juga keburukan kepada kita andai kita tersalah membuat pilihan dan keputusan.

Semua pihak perlulah sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memelihara kemajuan yang tercipta tanpa perlu kecundang disebabkan tewas dalam globalisasi. Peranan sesebuah institusi keluarga dan sekolah amat penting dalam membantu membina kemahiran-kemahiran yang seharusnya dikuasai murid berdasarkan globalisasi.

 Kemahiran pertama ialah menulis, di mana kemahiran literasi asas komunikasi dan menyampaikan idea secara tulisan dapat dikuasai oleh kerana menerusi penulisan, seseorangitu boleh mengeluarkan idea, perasaan, menyampaikan maklumat dan sebagai alat perhubungan sosial.

Kemahiran kedua ialah membaca, yang mana kemahiran literasi menimba ilmu melalui bahan-bahan bercetak perlu diterapkan sejak dari bangku sekolah agar murid-murid memperoleh pengalaman dan ilmu menerusi bahan-bahan ilmiah yang dibaca. Membaca jambatan ilmu. Dengan melazimkan diri dengan aktiviti membaca sudah menerapkan nilai-nilai murni secara tidak langsung menerusi kandungan bahan yang dibaca.

Kemahiran ketiga, mengira merupakan kemahiran literasi asas mengoperasikan otak secara abstrak tentang hukum sains dan alam semesta. Segala yang dilalui dalam kehidupan seharian melibatkan kita dengan hukum sains dan alam semesta. Cuba bayangkan seandainya anak-anak kita tidak menguasai kemahiran mengira, adakah mereka mampu untuk menguruskan kehidupan mereka secara sendiri kelak? Contohnya, jika tidak menguasai konsep asas nombor, bagaimana murid dapat menyelesaikan masalah melibatkan nilai nombor yang lebih besar? Kemahiran mengira merupakan kemahiran yang penting di samping perlunya kita menguasai kemahiran-kemahiran yang lain.

Kemahiran keempat, kemahiran memikir. Dalam kemahiran ini, guru dan ibu bapa berperanan untuk menyediakan peluang dan ruang untuk murid-murid berfikir tentang sesuatu perkara dan melatih mereka untuk mengolah dan melontarkan idea menerusi kemahiran berfikir yang diaplikasikan.

Kemahiran kelima ialah kemahiran menggunakan komputer. Jika dilihat sekarang, penggunaan komputer dalam membantu memudahkan pengurusan harian, mencari maklumat dan sebagai alat pengajaran yang berkesan.  Kemahiran menggunakan komputer perlu diterapkan dan didedahkan kepada anak-anak muda sekarang agar perkara seperti ‘fobia komputer’ dapat dielakkan.

Kemahiran keenam ialah kemahiran menjadi manusia. Dalam kemahiran ini, perlunya individu diajar untuk menjadi individu yang boleh berinteraksi bersama orang lain secara positif. Dengan kemahiran komunikasi yang baik seperti kesantunan tingkah laku dan kesantunan berbahasa membuatkan kita sentiasa dihormati dan hidup dalam keadaan yang harmoni.

Kemahiran ketujuh ialah kemahiran mencintai Tuhan. Dalam hidup kita, keredhaan Ilahi adalah sesuatu yang penting kerana hidup dalam keadaan dicintai Tuhan dan mendapat keredhaan menghasilkan dengan kejayaan dalam segala aspek dan memperoleh ketenangan yang sukar diterjemahkan. Kemahiran mencari dan menggunakan ilmu agama dalam proses mendapatkan keredhaan dan kecintaan Tuhan buat setiap hambanya, manusia harus sentiasa tersemat dalam diri setiap individu. 



KESAN GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

Berdasarkan definisi globalisasi pendidikan, cabaran globalisasi dalam pendidikan, krisis pendidikan global dan sebagainya sebagaimana yang telah dinyatakan di ruangan sebelumnya, apakah kesan yang dapat kita kenal pasti terhadap globalisasi dalam pendidikan? Adakah memberi kesan baik sahaja atau member kesan buruk semata atau memiliki pro dan kontranya iaitu kesan baik dan buruk melalui globalisasi dalam pendidikan.

Globalisasi dalam pendidikan memberikan kesan positif dan negatif. Apakah kesan positif yang dapat diberikan melalui globalisasi dalam pendidikan? Antaranya ialah:
  • -          budaya pembelajaran sepanjang hayat
  • -          kebolehan berkomunikasi dalam bahasa ibunda dan bahasa antarabangsa
  • -          menguasai kemahiran teknologi untuk keperluan pekerjaan dan kehidupan seharian
  • -          pendidikan Negara terbuka kepada dunia luar
  • -          perubahan peranan guru dalam bilik darjah
  • -          peluang pendidikan terbuka luas
  • -          persaingan sihat dalam meningkatkan mutu pendidikan dan inovasi
  • -          perkongsian sumbangan hasil penyelidikan tentang pengajaran dan pembelajaran

Terdapat beberapa  kesan negatif melalui globalisasi dalam pendidikan iaitu:

  • -          kadar pengangguran semakin meningkat
  • -          pengaliran keluar sumber manusia yang berkepakaran ke luar negara
  • -          meminggirkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda
  • -          perdagangan pendidikan
  • -          penyebaran sumber-sumber yang tidak bersesuaian dengan intelek dan rohani
  • -          berlaku penindasan dalam merampas peluang dan sumber bagi kemajuan sistem pendidikan sesebuah negara
  • -          pemantauan mendalam dari aspek permasalahan antisosial



       Oleh itu, biarpun ianya mempunyai kesan positif dan negatif, ianya adalah tanggungjawab individu dalam membuat pilihan bijak sama ada ingin memilih sumber yang bersesuaian atau sebaliknya. Tambahan pula, sebagai pendidik perlunya pemilihan dibuat dalam mencedok ilmu dan sumber maklumat yang bersesuaian untuk disalurkan kepada murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah agar nilai-nilai negatif tidak dapat diterapkan dalam diri murid-murid.

IMPAK GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN


Globalisasi meluaskan konsep dunia tanpa sempadan memberikan cabaran terhadap guru bagaimana perancangan pembelajaran dan dunia pendidikan boleh dimajukan dari perspektif global yang melibatkan penyesuaian kurikulum, penjadualan belajar, penerokaan maklumat melalui ICT, pengawalan dan penyeliaan, serta peranan efektif guru dalam memajukan dunia pendidikan.

Seperti yang ditunjukkan dalam gambar rajah 7, ada dinyatakan tentang impak globalisasi dalam pendidikan di mana rajah di sebelah kiri merupakan sebab yang berlaku menerusi globalisasi dan rajah di sebelah kanan menunjukkan akibat daripada globalisasi dalam pendidikan.



Lambakan sumber maklumat dalam Bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa yang mudah diperoleh menerusi kecanggihan teknologi maklumat menghasilkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa sebagai bahasa ilmu. Ini kerana, kebanyakan bahan penyelidikan dan sumber lain maklumat menggunakan Bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa. Ini secara langsung, menjadi kelaziman individu menjadikan Bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa sebagai bahasa ilmu utama.

Selain itu, dengan globalisasi, penggunaan teknologi maklumat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran sering diaplikasikan. Ini membuatkan murid-murid dan guru dapat menguasai ledakan maklumat dan menambah pengalaman murid. Jika pada masa kini tiada pelaksanaan pembelajaran menggunakan teknologi maklumat di dalam bilik darjah, adalah sukar untuk guru menyalurkan ilmu dan pengalaman berkaitan persekitaran yang sukar untuk disediakan. Contohnya, keadaan di dasar laut, suasana di kutub utara dan melihat bagaimana gunung berapi meletus. Dengan kecanggihan teknologi maklumat, murid berpeluang melihat dan meneroka pengetahuan baru yang terbatas melalui video, paparan slide dan sebaganyai.

Dengan globalisasi dalam pendidikan, mewujudkan lebih banyak institusi pengajian tinggi swasta yang mana memberikan kesan ke atas semua individu untuk mendapatkan peluang pendidikan yang sama rata. Secara tidak langsung, pembangunan negara semakin meningkat melalui penghasilan produk berkemahiran dan pakar dalam sesuatu bidang.

Pembudayaan teknologi dalam pelaksanaan harian membuatkan urusan kita menjadi lebih mudah dan lebih bersistematik. Contohnya, penggunaan aplikasi Microsoft Excel, memudahkan kita untuk menguruskan sesuatu data dan boleh dikemas kini pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment